Sahabat-sahabat Perjuangan

Sunday, July 13, 2014

Berikanku Paintkiller

Assalamualaikum W.B.T

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.



Tak tahu untuk mulakan. Tapi hati ini dan jiwa ini meminta pertolongan mu ya Allah. Hamba mu ni amat lemah. Ujian yang Engkau berikan hanya sedikit jikalau nak dibandingkan dengan ujian yang engkau pernah berikan kepada Umat yang terdahulu. 

Entah mengapa, bila meningkat dewasa hati dan jiwa ini sangat mudah tersentuh. Mudah terpikat. Padahal diriku tidaklah sebegini. 



Jika di sana di uji dengan perang, tapi di sini di uji dengan kesenangan. Kadang-Kadang hati ini rasa bersalah bila rasa diri ini mencitai orang. Nak luahkan tak mampu. Nak pendam sakit. Lagi sakit jika ianya terlepas kepada orang lain. 

Mungkin ini petanda. Petanda bahawa istilah antara cinta dan cita ni mengambil alih. Mungkin ini adalah zaman peralihan di mana  bahagian cinta ini datang. 

P/S : Nama saja blog antara cinta dan cita. Namun masih terkejar-kejar mencari cinta dan mengejar cita. Hurm…….

Monday, June 23, 2014

Apa yang aku boleh baca belum tentu orang lain boleh baca

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Assalamualaikum, nampaknya sudah lama tidak membuat sebarang coretan di sini. Kini ku kembali dengan wajah yang sama dan gaya tulisan tahap bawah.

Kembali pada tajuk di atas, baru-baru ini dapat satu tugasan dari pensyarah. Pabila selesai tugasannya, menjadi satu kemestian untuk ditunjukkan kepada beliau agar tiada kesilapan-kesilapan remeh. Dipendekkan cerita, pensyarah tersebut.....

Pensyarah : Hamzah, saya manalah boleh baca tulisan ni. Kecik sangat, macam manalah boleh saya baca.
Hamzah : Eh, Maaf Dr, terbiasa buat "view" kecil. Jap saya besarkan....


Perkara ni nampak kecil sebenarnya. Begitu juga dalam kehidupan. Kebiasaannya kita harapkan orang lain berfikir dengan gaya berfikir cara kita, tapi kita tak sedar bahawa gaya berfikir setiap orang berbeza.

Mengapa gaya berfikir sesorang itu berbeza antara satu sama lain? Setiap orang ada pengalaman berbeza, persekitaran berbeza dan juga cikgu yang berbeza. Oleh sebab itu perbezaan dalam diri setiap orang itu adalah perkara biasa.

Perbezaan gaya berfikir ini bagus kerana dengan adanya hal ini, idea baru dan penjanaan idea dapat dilakukan. Oleh yang sedemikian tiada idea yang jumud. Setiap orang mempunyai kelebihan yang berbeza. Sebagai contoh, apabila kita gabungkan orang alam sekitar, orang seni, juga orang sains dan beberapa orang lain yang pakar dalam bidang-bidang tertentu untuk menjana idea, semestinya satu produk yang cantik, mempunya fungsi yang mudah dan mesra alam dapat dihasilkan.

Realiti kini tak secantik inikan? perbezaan idea dan ideologi membuatkan kita mudah berpecah. Lihatlah gaya politik kita sekarang. Hurm...Masing-masing ada kepentingan sendiri mungkin?


Jejak Jari :
- putus cinta itu sakit. kan? huhu



Thursday, April 10, 2014

Jika ada peluang, berbaktilah kepada masyarakat.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha penyayang.

InsyaAllah, isnin ni bermulah sem kedua untuk sidang 2011/2012. Banyak perkara suka dan duka sepanjang perjalanan hidupku di USM ini. Ada kenangan pahit, manis, masam, masin dan sebagainya. Semua tu membawa rasa yang unik dalam mematangkan diri ini.

Tika ku merenung bersendirian, kadang-kadang terfikir, Apakah hala tuju selepas tamatnya belajar? Jawapan buku semestinya kerja, duit, dan berkeluarga. Bagaimana pula selepas itu? Mungkin selepas ini anda menjadi usahawan, jutawan, mahupun hartawan, tetapi apalah maknanya jika tidak dapat berbakti kepada masyarakat?


Apabila melihat gambar di atas, ku rasa beruntungnya kita yang hidup yang dilimpahi dengan kesenangan. Makanan yang kita makan lebih sedap jika berbanding mereka. Lagi menyedihkan, pabila kita menyatakan makanan yang kita makan tidak sedap, lalu membuangkannnya.

Ambik makanan mengikut keperluan dan bukan kerana nafsu. Kebiasaanya tika kita lapar makanan yang kita ambil kebiasaannya nampa sedikit berbanding saiz kelaparan yang kita rasa. Namun selepas menjamahnya hilang nafsu dan makanan tersebut dibazirkan dengan sewenang-wenangnya.

Kita hidup dalam kesenangan mungkin tidak nampak keringat, usaha dan tenaga para petani, nelayan mahupun penternak dalam mengusahakan untuk menanam, membela dan menangkap sumber makanan mentah yang kita makan.

Pada masa dahulu terdapat 1 iklan di kaca televisyen " Sebutir beras ibarat setitis peluh petani". Nampak seperti lawak, namun sekiranya tidak melihat realiti kita tidak tahu cabaran petani dalam menanam pokok padi. Dalam penanaman padi sahaja ada cabaran haiwan perosak dan cabaran-cabaran lain.

Oleh yang sedemikian, hargailah makanan yang anda ada. Makanlah mengikut kemampuan anda.

"Youre what you eat"

2014

Kembali pada tajuk, aku sempat melihat sendiri kerakusan manusia dalam mengejar wang dengan menidakkan hak alam dan hak masyarakat. Aku sebenarnya takut. Mengapa?

Keadaan sekeliling akan membuatkan jiwa kita ni akan mengatakan itu tidak apa jika dilaksanakan perkara yang pada dasarnya salah. Tidak kira lah pada dasar pemikiran manusia mahupun pada dasar agama itu sendiri. Musahabah diri itu perlu. Kadang-kadang kita perlukan orang lain untuk tolong memusahabahkan diri kita ini. Mungkin persepsi diri sendiri berbeza dengan orang lain, tapi kadang-kadang, kelainan itu yang diperlukan.






Nota Jari :

1. Entry ni ditulis pada waktu zaman belajar dulu sidang 2011/2012 dan habis menaipnya pada 2014. Walaupun jaraknya jauh namun gaya tulisanku seolah-olah di"reset" kepada tahap 1. Jadi kebolehan menulis ini perlu dipertajamkan semula. Harap otak ini mampu berpusing-pusing ligat dalam menulis.
2. Konsep kenalan-kenalan dulu, kalau nak menulis, kamu kena membaca. Jadi kena menjadi pembaca tegar semula agaknya? (walaupun diri ini masih belum boleh dipanggil pembaca tegar sebelum ini)
3. Wishlist buku bulan ni tak beli lagi. Buku : Kapal Angkasa Yang Terhempas di Subang Jaya. Ada siapa-siapa nak sponser? hehe (tolong promote buku super senior Envtech yang tak dikenali =p )

Sekian





Friday, December 20, 2013

Perkahwinan Impian

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Sudah lama ku menghilangkan diri, dan kini ku kembali dengan tajuk yang agak pelik. Sepertinya aku kembali semata-mata ingin menyatakan bahawa aku sudah sampai seru untuk berkahwin.

Jujur aku katakan, siapa yang tidak mahu kahwin? Nabi tak mengaku umat kot kalau dah cukup syarat tapi masih tidak mahu mendirikan masjid. Sebenarnya aku menulis entry ini disebabkan cabaran oleh rakan blogger dan juga merangkap senior di USM satu ketika dahulu. Aku bagi satu tajuk kepada beliau dan beliau beri satu tajuk kepada aku.

Sungguh besar cabarannya untuk menulis tajuk ini. Ada beberapa faktor yang terlintas difikiran tentang tajuk ini. Antaranya ialah :
  1. Masih tiada calon
  2. Masih belum bersedia untuk berkahwin
  3. Semua yang tulis berkenaan perkahwinan Impian adalah dari kaum Hawa
  4. Masih seorang K-popers (Abaikan)
Baiklah, imiginasi aku untuk majlis perkahwinan nanti sangat rendah. Mungkin disebabkan aku mempunyai saudara-mara yang sangat sikit di Malaysia. Mungkin juga disebabkan aku merupakan anak sulung dan adik beradik masih belum lagi berkahwin. Mungkin juga aku belum bersedia untuk berumah tangga.

Jujur aku katakan, biasanya apa yang menjadi impian manusia adalah apa yang mereka lihat sendiri. Manusia suka untuk membandingkan antara satu sama lain. Jika perkahwinan seseorang tu gah, mereka juga inginkan sesuatu yang sama atau mungkin yang lebih baik. Tidakkah begitu?

Bagi aku, aku melihat perkahwinan ini adalah satu perkara yang memenatkan. Pagi, akad nikah, lepas tu photoshoot, lepas tu tukar persalinan untuk bersanding (kebiasaannya jam 2-3petang) lepas tu duduk di atas pelamin dan akan ada sahabat handai yang akan datang untuk bergambar sekali di atas pelamin, dan kebiasaannya sehingga habis.

Setakat ni aku lagi suka jika majlis perkahwinan tu santai. Tidak perlulah pelamin dan sebagainya. Mungkin pengantin boleh berlegar-legar jumpa sahabat handai. Bukan apa, kadang-kadang sahabat yang datang tu dari jauh. Kadang-kadang tidak sempat pun bertemu dengan pasangan pengantin kerana masih bermekan dan sebagainya. Merasakan satu kerugian disitu kerana kawan-kawan yang datang dari jauh dan sudah lama tidak bertemu tidak berkesempatan bertemu. Tapi mungkin nanti bila sampai giliran aku mungkin persepsi aku ni akan berubah. Ia la kan, tak tahu bagaimana bakal keluarga mertua bagaimana. Apa-apapun tunggu sahaja.. =)



Gambar ni diambil pada tahun 2012 kalau tak silap. Perkahwinan Abang Hisyam dan Kak Izzati. Perkahwinan yang santai bagiku. Pengantin pun tidak hanya duduk sahaja. Banyak berjalan dan boleh duduk sekali dengan tetamu di meja makan. (sahabat baik di sebelah kananku dalam gambar telah pulang ke Rahmatullah. Bersama-sama sedekahkan Al-Fatihah kepada beliau) 


 
Ini pula perkahwinan seorang kawan dan juga seorang pesaing di sekolah dahulu. Puan Fathonah bersama suami. Berkesempatan juga berjumpa dengan sahabat lama, Zulhairi bersama tunang beliau.

Sampai di sini dahulu coretanku buat masa ini. Esok akan pergi ke perkahwinan senior Environment Technology, Puan Wani Isa. Banyak perubahan beliau semasa beliau diambang perkahwinan. Sangat kagum dengan beliau.

Jejak Jari:
-Menulis blog ini sambil mendengar lagu Ziana Zain, Kalau Mencari Teman. Kononnya sedang mencarilah kan? hehe
-Nampaknya dah setahun tak menulis blog. Memang bersawang blog ni. InsyaAllah, akan mengupdate dengan lebih kerap. Doa-doakan.
-Doakan saya jumpa ye... =)

Wednesday, October 17, 2012

Kalau tak Cuba, mana mungkin berlaku kan?

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. 

"Membuat kesilapan itu tidak mengapa, tetapi tidak belajar dari kesilapan itu adalah masalah besar"

Melihat ayat ni membuatkan aku teringat akan penasihat sewaktu aku melakukan Latihan Industri tahun lepas. (Baru je kan cakap pasal dia semalam, hehe). Antara perkara yang tertanam kat aku hingga sekarang adalah jangan takut untuk mencuba. Walaupun perkara yang anda lakukan mungkin akan rosak ataupun salah.

Semasa LI, penasihatku memberikan tugasan untuk membetulkan pam air di kawasan lapangan (bunyi site dalam bahasa omputih). Di sini, air yang digunakan adalah air bawah tanah. Jadi pam automatik perlu dipasang untuk menyedut air bawah tanah. Jika tekanan air di dalam paip rendah, maka pam tersebut akan hidup secara automatik untuk menyedut air dari bawah tanah. Enjin pam lama sudah tidak berfungsi dengan baik kerana sudah berkarat, jadi kami perlu menukarkanya dengan yang baru. Semasa mengendalikan enjin pam air tersebut, tidak semena-mena sistem air tersebut rosak. Ia patah disebabkan semasa kami menyambungkannya di paip yang lain, kami memutarkannya dengan kuat. Bayangkan benda yang baru, kami patahkannya? Sudahlah harganya menghampiri RM 500.

Bentuk pam yang dijahanamkan.
(Bahagian bawah sekali merupakan tempat yang patah )
(Gambar dari En Kaca Mata, [bunyi google] )


Namun penasihatku menyatakan hal ini tidak mengapa. Tak salah jika  terbuat kesilapan. Semua ini boleh dipelajari. Seminggu selepas itu, penasihatku membeli pam air yang baru. Walaupun pam air yang sebelum ini sudah di " jahanamkan" oleh kami. Kami berjaya memasangnya malah semakin mahir tentang memasang paip dan sebagainya. Betullah kata beliau, banyak perkara yang boleh dipelajari dari kesilapan. Sejak dari itu, walaupun tak pernah melakukan sesuatu yang baru, pasti akan cuba untuk melakukannya. Memasak resepi baru dan sebagainya.... hehe


Jejak Jari :
  1. Ku sangka tulisanku boleh diiraskan dengan Kak Zara. Tapi jauh api dari panggang... hehe
  2. Banyak benda lagi yang perkara baru yang dicuba di lapangan. Berani mencuba!
  3. kopi yang dicampur susu tepung lagi sedap daripada kopi yang dicampur susu pekat. (tiada kaitan)

Tak nak balik raya haji?

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani


Alhamdulillah masih berkesempatan untuk berkarya dalam blog picisan yang tidak seberapa ini. Sepertinya sudah lama tidak mencoret sesuatu di skrin putih sambil papan kekunci berbunyi. 

Kali ni saya nak kongsi sesuatu berkenaan korban. Pada petang tadi saya berkesempatan bertemu penasihat semasa saya menjalani latihan industri. Sambil menghirup kuah bihun sup yang dibelanja oleh beliau, kami berbicara tentang banyak perkara. 

Oleh kerana minggu depan merupakan Hari Raya Aidiladha / Hari Raya Korban, beliau bertanya, :

Pak Ali : Tak balik ke Hamzah Hari Raya Korban ni?

Hamzah : Sambil berseloroh, InsyaAllah balik Pak Ali. Kalau tak dak apa-apa rintangan.

Pak Ali : Kalau tak balik, Mai lah rumah aku. Kat depan rumah aku nanti ada buat korban.

Almaklumlah sudah berLI di sana selama 4 bulan. Suasana di sana sungguh meriah jika ia melibatkan penduduk-penduduk kampung di sekitar. Beliau bercerita, pabila melakukan aktiviti penyembelihan lembu, anak-anak muda akan berkumpul beramai-ramai sambil membawa pisau tajam. Mereka semua berkesempatan melapah sambil memotong daging korban tersebut. Kalau bukan disebabkan aktiviti korban ni, golongan muda tiada kesempatan untuk melakukan semua ini kerana kalau orang yang berniaga mereka pasti akan memberikan tugas ini kepada yang pakar. Almaklumlah untuk mengelakkan kerugian. 

Untuk pengetahuan semua yang masih tidak tahu, seekor lembu biasanya akan dibahagikan  7 bahagian.. Kebiasaanya akan dikongsi seramai 7 orang, (1 orang, 1 bahagian).  Jika harga seekor lembu adalah RM 7000, maka 1 bahagian perlu dibayar RM 1000. Contohnya jika YB Hamzah ingin membuat korban, beliau boleh menyertai 1 bahagian dengan membayar RM 1000 atau 2 bahagian sebanyak RM 2000 ataupun lebih. Proses pembahagian ni tidak boleh lebih atau kurang dari 7 orang (7 bahagian).Jika ada 5 orang yang ingin berkonsi untuk melakukan ibadah korban, salah seorang atau 2 orang dari mereka perlu ambil 3 bahagian atau 2 bahagian untuk mencukupi 7 bahagian. 

Seterusnya, daging lembu yg sudah dilapah ni akan dibahagikan kepada 3. 1 bahagian akan disedekahkan kepada fakir miskin, 1 bahagian ni akan dihadiahkan orang kaya dan satu bahagian lagi perlu diambil oleh orang yang melakukan ibadat korban

1/3 bahagian yang diambil oleh orang yang melakukan ibadat korban ini pula perlu dibahagi kepada 7 orang jika ibadah ini dibuat sebanyak 7 bahagian. 

Yang menariknya 1/3 lagi bahagian yang dihadiahkan kepada orang kaya tidak boleh dijual tetapi mereka boleh memberi kepada orang lain. 1/3 bahagian lain yang disedekahkan kepada orang miskin, mereka boleh menjual daging korban tersebut. Menariknya tentang ibadat korban ni bagi saya adalah berkenaan tentang semua orang yang miskin ataupun yang kaya dapat berkongsi bersama-sama. Ukhwah itu makin terasa pabila proses penyembelihan, melapah daging dan sebagainya dilakukan bersama-sama tidak kiralah si kaya ataupun si miskin.

Sebelum penyembelihan atau semasa penyembelihan, akan ada seorang dari penduduk akan mengumumkan nama polan bin polan yang melakukan ibadat korban ini. Jika seekor lembu ada 7 orang yang mengambil bahagian, maka ketujuh-tujuh nama mereka akan diumumkan. 

Jika ada diantara mereka yang ingin melakukan aqiqah, daging aqiqah tersebut akan direbus dan akan dijamah diatas dulang beramai-ramai. Bergotong-royong bersama-sama, makan bersama-sama, itu adalah perkara yang sangat menarik. 

 (gambar hiasan diambil dari encik kaca mata)


Jejak Jari :

  1. Selepas dengar cerita ni membuatkan ku ingin beraya disana. hehe
  2. Esok akan pergi ke Sekolah Badlishah. Aktiviti cacing bersama-sama pelajar adalah 1 aktiviti menarik. =)
  3. Baru mendapat 1 buku dan 1 rantai kunci yang di pos dari Indonesia baru-baru ini. Terima kasih kepada Sri Yuliani atas pemberian. Tidak ku sangka anda ada mengeluarkan buku. Mintak maaf banyak-banyak kerana masih tidak berkesempatan membaca buku tersebut
  4. 3 tahun menulis blog, pendapatan setakat ni baru RM 92. Alhamdulillah. =)
  5. Bacaan yang mungkin dapat memeberi maklumat lebih lanjut tentang korban, anda boleh lawat di sini dan juga di sini. =)
  6. InsyaAllah, jika satu hari nanti aku mempunyai duit yang cukup, aku akan mengabil bahagian =)






Friday, June 8, 2012

Aku seorang Student SK Part 3

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

DALAM RUANG ILMU

Kita adalah pencari di laut
menyusur sayap angin
menyantun suara ombak
meminjam pada karang
berguru pada gelombang
tinta tumpah tak bersambut
luas makna tak tersebut.

Kita adalah penafsir
merungkai misteri makna
dari tanah dan batu
gerak nuansa bersilang dalam buku
buka dan bacalahl setiap diksi
dari kitab rasa itu
kita tidak sesat di sini
tamsilan bersandar ilmu
ilmu bersandarkan iman
iman yang satu
satu yang jitu.

Dalam ruang ilmu
kita adalah pencari dan penerima
menerima dengan tahu
amanah ilmu yang ditemui dan ditafsir
esok, jawapan dibuka kepada kita
di sana tertempa dari tintamu
kira bicara.


Upsi, Tanjung Malim.
2008 (sumber dari sini)

Kadang-kadang sukar untuk mecari konklusi. Jiwa manusia kadang kala kotor, kadang kala bersih. Kadang-kadang jiwa yang bersih pun boleh menjadi kotor. Kadang-kadang sifat ego yang menebal membantutkan jiwa yang kotor bertukar menjadi bersih. Untuk pengetahuan semua, bulan lepas Ummi ku telah mengalami satu kemalangan jalan raya. Di mana bus yang dinaikinya bertembung dengan sebuah lori. Dalam kemalangan tersebut, pemandu lori beserta isterinya mati.

Untuk pengetahuan semua, Ummiku mengikuti Perhimpunan Agong UMNO 2012 kali ke-66 di Bukit Jalil. Semasa dalam perjalanan pulang tersebutlah berlakunya kemalangan tersebut. Mengikut laporan mulut dari Ummiku, pemandu bus yang membawa mereka demam.

Dipendekkan cerita, dalam bus tersebut ramai orang yang cedera. Lebih-lebih lagi buat pemandu bus tersebut. Badannya tersepit dalam keadaan beliau yang masih sedar. Ummiku duduk di barisan kedua daripada tempat pemandu. Jadi beliau nampak lebih jelas (kalau tak silap, darah pemandu bus tu terpercik sikit kat tudung Ummiku).

Baiklah. Bukan kisah kemalangan yang ingin aku kongsikan. Tetapi apa yang terjadi selepas itu. Kemalangan tersebut berlaku di kawasan kampung. Kampung tersebut mungkin orang hijau. Dalam bus tersebut orang merah ( almaklum baru balik dari perhimpunan, masih dalam pakaian yang bewarna merah).

Menurut Ummiku lagi, pintu depan dan pintu kecemasan bus tersebut tidak boleh dibuka. Mungkun disebabkan impak dari kemalangan tersebut. Penumpang yang tercedera dalam bus sedaya upaya meminta tolong orang kampung disitu dengan menjerit dan mengetuk tingkap. Namun, penduduk yang berada di situ hanya melihat tanpa cuba menyelamatkan orang yang berada dalam bus tersebut. Pada ketika itu juga, bau hangit mula masuk ke rongga hidung. Penduduk kampung tersebut masih melihat tanpa membuat apa-apa.

Selepas seketika, bus yang berada di belakang sampai. Jadi merekalah yang bertungkus lumus untuk membuka bus tersebut. Berhampiran tempat berlakunya kemalangan tersebut ada sebuah rumah. Ada seorang mak cik ni cedera teruk. Jadi mereka membawa makcik tu di hadapan rumah tersebut. Salah seorang daripada mereka mengambil kusyen lama untuk dijadikan bantal kepada makcik yang cedera tersebut. Tindakan tersebut telah menyebabkan tuan rumah tersebut marah. "Kenapa ambil hak orang lain tanpa minta kebenaran dahulu?" (bayangkanlah jika orang yang anda tak suka ambil barang anda padahal barang anda tu dah tidak ada nilai sangat).

Ada lagi kisah rentetan dari kisah ini. Tapi cukuplah sampai disini ku menceritakan kisah tersebut. Jadi, apa ulasan yang anda boleh buat?

Ulasan orang biasa yang fanatik :

Orang Hijau : Argh! padan muka! Pergi lagi perhimpunan merah yang tak berfaedah tu. bla bla bla........ kalau mati pon tak pe. Kurang undi 1 bus....

Orang Merah : Hampeh punya orang hijau. Keji! Orang dalam kesusahan pun tak nak tolong..... bla bla bla

Secara jujur, aku sakit, alergik dengan fikiran-fikiran begini. Masih fanatik walaupun dalam keadaan yang genting. Tetap mencari perbezaan yang membantutkan nilai murni penduduk Malaysia.

Cukuplah berfikiran sempit seperti itu. Kita boleh berfikir dengan luas. Cuba cari persamaan dalam diri dan cuba faham perbezaan antara kita. Politik, perbezaan kaum, perbezaan pendapat menjadi elemen dalam mencipta fikiran tersebut.

Semakin parah jika kita mula berfikir sebegini,

“Mereka tidak layak. Tiada kebaikan yang pernah saya dapat daripada mereka,”

Wahai teman-teman sekalian. Hendak buat kebaikan tidak memerlukan sebab. Saya pasti anda semua setuju. Perbuatan yang baik pasti akan dibalas satu hari nanti. Itu adalah pasti.

Jejak Jari :
  1. Aku bukanlah seorang penulis blog politik. Tak kisah sekirangnya anda orang merah ke, hijau ke, oren ke atau sebagainya. Jika anda mampu berfikir sebentar, melihat dengan positif, dan berpandukan nilai-nilai murni, anda pasti boleh menjadi seorang insan yang baik. (pesanan untuk diriku jua)
  2. Nasi yang dimakan bersama-sama lebih sedap berbanding makan sendiri. Hidup bersama-sama dalam keadaan harmoni lebih seronok berbanding hidup berseorangan dalam keadaan yang aman. =)
  3. Menaip sambil dengar lagu, Nota Cinta- Saujana.
  4. Aku seorang Student SK Part 1
  5. Aku seorang Student SK Part 2