Sahabat-sahabat Perjuangan

Wednesday, October 17, 2012

Kalau tak Cuba, mana mungkin berlaku kan?

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. 

"Membuat kesilapan itu tidak mengapa, tetapi tidak belajar dari kesilapan itu adalah masalah besar"

Melihat ayat ni membuatkan aku teringat akan penasihat sewaktu aku melakukan Latihan Industri tahun lepas. (Baru je kan cakap pasal dia semalam, hehe). Antara perkara yang tertanam kat aku hingga sekarang adalah jangan takut untuk mencuba. Walaupun perkara yang anda lakukan mungkin akan rosak ataupun salah.

Semasa LI, penasihatku memberikan tugasan untuk membetulkan pam air di kawasan lapangan (bunyi site dalam bahasa omputih). Di sini, air yang digunakan adalah air bawah tanah. Jadi pam automatik perlu dipasang untuk menyedut air bawah tanah. Jika tekanan air di dalam paip rendah, maka pam tersebut akan hidup secara automatik untuk menyedut air dari bawah tanah. Enjin pam lama sudah tidak berfungsi dengan baik kerana sudah berkarat, jadi kami perlu menukarkanya dengan yang baru. Semasa mengendalikan enjin pam air tersebut, tidak semena-mena sistem air tersebut rosak. Ia patah disebabkan semasa kami menyambungkannya di paip yang lain, kami memutarkannya dengan kuat. Bayangkan benda yang baru, kami patahkannya? Sudahlah harganya menghampiri RM 500.

Bentuk pam yang dijahanamkan.
(Bahagian bawah sekali merupakan tempat yang patah )
(Gambar dari En Kaca Mata, [bunyi google] )


Namun penasihatku menyatakan hal ini tidak mengapa. Tak salah jika  terbuat kesilapan. Semua ini boleh dipelajari. Seminggu selepas itu, penasihatku membeli pam air yang baru. Walaupun pam air yang sebelum ini sudah di " jahanamkan" oleh kami. Kami berjaya memasangnya malah semakin mahir tentang memasang paip dan sebagainya. Betullah kata beliau, banyak perkara yang boleh dipelajari dari kesilapan. Sejak dari itu, walaupun tak pernah melakukan sesuatu yang baru, pasti akan cuba untuk melakukannya. Memasak resepi baru dan sebagainya.... hehe


Jejak Jari :
  1. Ku sangka tulisanku boleh diiraskan dengan Kak Zara. Tapi jauh api dari panggang... hehe
  2. Banyak benda lagi yang perkara baru yang dicuba di lapangan. Berani mencuba!
  3. kopi yang dicampur susu tepung lagi sedap daripada kopi yang dicampur susu pekat. (tiada kaitan)

Tak nak balik raya haji?

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani


Alhamdulillah masih berkesempatan untuk berkarya dalam blog picisan yang tidak seberapa ini. Sepertinya sudah lama tidak mencoret sesuatu di skrin putih sambil papan kekunci berbunyi. 

Kali ni saya nak kongsi sesuatu berkenaan korban. Pada petang tadi saya berkesempatan bertemu penasihat semasa saya menjalani latihan industri. Sambil menghirup kuah bihun sup yang dibelanja oleh beliau, kami berbicara tentang banyak perkara. 

Oleh kerana minggu depan merupakan Hari Raya Aidiladha / Hari Raya Korban, beliau bertanya, :

Pak Ali : Tak balik ke Hamzah Hari Raya Korban ni?

Hamzah : Sambil berseloroh, InsyaAllah balik Pak Ali. Kalau tak dak apa-apa rintangan.

Pak Ali : Kalau tak balik, Mai lah rumah aku. Kat depan rumah aku nanti ada buat korban.

Almaklumlah sudah berLI di sana selama 4 bulan. Suasana di sana sungguh meriah jika ia melibatkan penduduk-penduduk kampung di sekitar. Beliau bercerita, pabila melakukan aktiviti penyembelihan lembu, anak-anak muda akan berkumpul beramai-ramai sambil membawa pisau tajam. Mereka semua berkesempatan melapah sambil memotong daging korban tersebut. Kalau bukan disebabkan aktiviti korban ni, golongan muda tiada kesempatan untuk melakukan semua ini kerana kalau orang yang berniaga mereka pasti akan memberikan tugas ini kepada yang pakar. Almaklumlah untuk mengelakkan kerugian. 

Untuk pengetahuan semua yang masih tidak tahu, seekor lembu biasanya akan dibahagikan  7 bahagian.. Kebiasaanya akan dikongsi seramai 7 orang, (1 orang, 1 bahagian).  Jika harga seekor lembu adalah RM 7000, maka 1 bahagian perlu dibayar RM 1000. Contohnya jika YB Hamzah ingin membuat korban, beliau boleh menyertai 1 bahagian dengan membayar RM 1000 atau 2 bahagian sebanyak RM 2000 ataupun lebih. Proses pembahagian ni tidak boleh lebih atau kurang dari 7 orang (7 bahagian).Jika ada 5 orang yang ingin berkonsi untuk melakukan ibadah korban, salah seorang atau 2 orang dari mereka perlu ambil 3 bahagian atau 2 bahagian untuk mencukupi 7 bahagian. 

Seterusnya, daging lembu yg sudah dilapah ni akan dibahagikan kepada 3. 1 bahagian akan disedekahkan kepada fakir miskin, 1 bahagian ni akan dihadiahkan orang kaya dan satu bahagian lagi perlu diambil oleh orang yang melakukan ibadat korban

1/3 bahagian yang diambil oleh orang yang melakukan ibadat korban ini pula perlu dibahagi kepada 7 orang jika ibadah ini dibuat sebanyak 7 bahagian. 

Yang menariknya 1/3 lagi bahagian yang dihadiahkan kepada orang kaya tidak boleh dijual tetapi mereka boleh memberi kepada orang lain. 1/3 bahagian lain yang disedekahkan kepada orang miskin, mereka boleh menjual daging korban tersebut. Menariknya tentang ibadat korban ni bagi saya adalah berkenaan tentang semua orang yang miskin ataupun yang kaya dapat berkongsi bersama-sama. Ukhwah itu makin terasa pabila proses penyembelihan, melapah daging dan sebagainya dilakukan bersama-sama tidak kiralah si kaya ataupun si miskin.

Sebelum penyembelihan atau semasa penyembelihan, akan ada seorang dari penduduk akan mengumumkan nama polan bin polan yang melakukan ibadat korban ini. Jika seekor lembu ada 7 orang yang mengambil bahagian, maka ketujuh-tujuh nama mereka akan diumumkan. 

Jika ada diantara mereka yang ingin melakukan aqiqah, daging aqiqah tersebut akan direbus dan akan dijamah diatas dulang beramai-ramai. Bergotong-royong bersama-sama, makan bersama-sama, itu adalah perkara yang sangat menarik. 

 (gambar hiasan diambil dari encik kaca mata)


Jejak Jari :

  1. Selepas dengar cerita ni membuatkan ku ingin beraya disana. hehe
  2. Esok akan pergi ke Sekolah Badlishah. Aktiviti cacing bersama-sama pelajar adalah 1 aktiviti menarik. =)
  3. Baru mendapat 1 buku dan 1 rantai kunci yang di pos dari Indonesia baru-baru ini. Terima kasih kepada Sri Yuliani atas pemberian. Tidak ku sangka anda ada mengeluarkan buku. Mintak maaf banyak-banyak kerana masih tidak berkesempatan membaca buku tersebut
  4. 3 tahun menulis blog, pendapatan setakat ni baru RM 92. Alhamdulillah. =)
  5. Bacaan yang mungkin dapat memeberi maklumat lebih lanjut tentang korban, anda boleh lawat di sini dan juga di sini. =)
  6. InsyaAllah, jika satu hari nanti aku mempunyai duit yang cukup, aku akan mengabil bahagian =)






Friday, June 8, 2012

Aku seorang Student SK Part 3

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

DALAM RUANG ILMU

Kita adalah pencari di laut
menyusur sayap angin
menyantun suara ombak
meminjam pada karang
berguru pada gelombang
tinta tumpah tak bersambut
luas makna tak tersebut.

Kita adalah penafsir
merungkai misteri makna
dari tanah dan batu
gerak nuansa bersilang dalam buku
buka dan bacalahl setiap diksi
dari kitab rasa itu
kita tidak sesat di sini
tamsilan bersandar ilmu
ilmu bersandarkan iman
iman yang satu
satu yang jitu.

Dalam ruang ilmu
kita adalah pencari dan penerima
menerima dengan tahu
amanah ilmu yang ditemui dan ditafsir
esok, jawapan dibuka kepada kita
di sana tertempa dari tintamu
kira bicara.


Upsi, Tanjung Malim.
2008 (sumber dari sini)

Kadang-kadang sukar untuk mecari konklusi. Jiwa manusia kadang kala kotor, kadang kala bersih. Kadang-kadang jiwa yang bersih pun boleh menjadi kotor. Kadang-kadang sifat ego yang menebal membantutkan jiwa yang kotor bertukar menjadi bersih. Untuk pengetahuan semua, bulan lepas Ummi ku telah mengalami satu kemalangan jalan raya. Di mana bus yang dinaikinya bertembung dengan sebuah lori. Dalam kemalangan tersebut, pemandu lori beserta isterinya mati.

Untuk pengetahuan semua, Ummiku mengikuti Perhimpunan Agong UMNO 2012 kali ke-66 di Bukit Jalil. Semasa dalam perjalanan pulang tersebutlah berlakunya kemalangan tersebut. Mengikut laporan mulut dari Ummiku, pemandu bus yang membawa mereka demam.

Dipendekkan cerita, dalam bus tersebut ramai orang yang cedera. Lebih-lebih lagi buat pemandu bus tersebut. Badannya tersepit dalam keadaan beliau yang masih sedar. Ummiku duduk di barisan kedua daripada tempat pemandu. Jadi beliau nampak lebih jelas (kalau tak silap, darah pemandu bus tu terpercik sikit kat tudung Ummiku).

Baiklah. Bukan kisah kemalangan yang ingin aku kongsikan. Tetapi apa yang terjadi selepas itu. Kemalangan tersebut berlaku di kawasan kampung. Kampung tersebut mungkin orang hijau. Dalam bus tersebut orang merah ( almaklum baru balik dari perhimpunan, masih dalam pakaian yang bewarna merah).

Menurut Ummiku lagi, pintu depan dan pintu kecemasan bus tersebut tidak boleh dibuka. Mungkun disebabkan impak dari kemalangan tersebut. Penumpang yang tercedera dalam bus sedaya upaya meminta tolong orang kampung disitu dengan menjerit dan mengetuk tingkap. Namun, penduduk yang berada di situ hanya melihat tanpa cuba menyelamatkan orang yang berada dalam bus tersebut. Pada ketika itu juga, bau hangit mula masuk ke rongga hidung. Penduduk kampung tersebut masih melihat tanpa membuat apa-apa.

Selepas seketika, bus yang berada di belakang sampai. Jadi merekalah yang bertungkus lumus untuk membuka bus tersebut. Berhampiran tempat berlakunya kemalangan tersebut ada sebuah rumah. Ada seorang mak cik ni cedera teruk. Jadi mereka membawa makcik tu di hadapan rumah tersebut. Salah seorang daripada mereka mengambil kusyen lama untuk dijadikan bantal kepada makcik yang cedera tersebut. Tindakan tersebut telah menyebabkan tuan rumah tersebut marah. "Kenapa ambil hak orang lain tanpa minta kebenaran dahulu?" (bayangkanlah jika orang yang anda tak suka ambil barang anda padahal barang anda tu dah tidak ada nilai sangat).

Ada lagi kisah rentetan dari kisah ini. Tapi cukuplah sampai disini ku menceritakan kisah tersebut. Jadi, apa ulasan yang anda boleh buat?

Ulasan orang biasa yang fanatik :

Orang Hijau : Argh! padan muka! Pergi lagi perhimpunan merah yang tak berfaedah tu. bla bla bla........ kalau mati pon tak pe. Kurang undi 1 bus....

Orang Merah : Hampeh punya orang hijau. Keji! Orang dalam kesusahan pun tak nak tolong..... bla bla bla

Secara jujur, aku sakit, alergik dengan fikiran-fikiran begini. Masih fanatik walaupun dalam keadaan yang genting. Tetap mencari perbezaan yang membantutkan nilai murni penduduk Malaysia.

Cukuplah berfikiran sempit seperti itu. Kita boleh berfikir dengan luas. Cuba cari persamaan dalam diri dan cuba faham perbezaan antara kita. Politik, perbezaan kaum, perbezaan pendapat menjadi elemen dalam mencipta fikiran tersebut.

Semakin parah jika kita mula berfikir sebegini,

“Mereka tidak layak. Tiada kebaikan yang pernah saya dapat daripada mereka,”

Wahai teman-teman sekalian. Hendak buat kebaikan tidak memerlukan sebab. Saya pasti anda semua setuju. Perbuatan yang baik pasti akan dibalas satu hari nanti. Itu adalah pasti.

Jejak Jari :
  1. Aku bukanlah seorang penulis blog politik. Tak kisah sekirangnya anda orang merah ke, hijau ke, oren ke atau sebagainya. Jika anda mampu berfikir sebentar, melihat dengan positif, dan berpandukan nilai-nilai murni, anda pasti boleh menjadi seorang insan yang baik. (pesanan untuk diriku jua)
  2. Nasi yang dimakan bersama-sama lebih sedap berbanding makan sendiri. Hidup bersama-sama dalam keadaan harmoni lebih seronok berbanding hidup berseorangan dalam keadaan yang aman. =)
  3. Menaip sambil dengar lagu, Nota Cinta- Saujana.
  4. Aku seorang Student SK Part 1
  5. Aku seorang Student SK Part 2






Tuesday, June 5, 2012

Andainya ku bisa, ingin ku petik bintang

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Sudah lama ku tidak menulis di sini. Kesibukan bukan satu alasan yang boleh diterima. Mungkin disebabkan semakin jarang menulis, jadi apabila hendak menulis ku rasa kekok. Nak mengolah ayat pun mengambil masa.

Hujung minggu yang lepas aku banyak bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Pada hari sabtu yang lepas aku beserta warga EKSPEN 2012 telah mengadakan satu lawatan ke Cameron Highland. Mungkin bagi para pembaca, apalah sangat yang ada di Cameron kan? Bagi aku, disana merupakan satu tempat yang sangat menarik. Masakan tidak, teknologi pertanian disana mampu membuka mataku bahawa teknologi juga menyumbang kepada perkembangan industri pertanian.


Segalanya tidak tamat disitu. Keesokan harinya, aku bersama skuter kesayangan telah bergerak ke Tasek Gelugor Penang. Di sini berlansungnya perkahwinan senior kesayangan aku tatkala mereka masih menuntut bersama-sama di USM. Mereka adalah Abang Hisyam dan Kak Zati. Lihat gambar dibawah.


Jujur aku katakan mereka berdua antara orang yang memberikan impak yang besar dalam diriku. Mereka antara orang yang menggerakkan aku untuk menulis. (berpeluh juga apabila memikirkan kadar tulisan semakin lama semakin kurang).

Semasa di majlis walimatul urus mereka, mereka ada mengedarkan kad. Dalam kad tersebut, tertulis :

"Wahai pemuda-pemuda, sesiapa sahaja diantara kamu yang berkemampuan untuk berkahwin, maka berkahwinlah kerana dengan berkahwin dapat menundukkan pandangan dan menjaga kehormatan diri" (riwayat Bukhari dan Muslim).

Dengan nada bergurau, ku bertanya kepada pengantin lelaki, kad ni macam nak suruh saya kahwin cepat je. Sambil tersenyum, Abang Hisyam menanyakan sama ada aku ada berminat pada mana-mana gadis? dia boleh tolong.

Oh Abang Hisyam... Berat tanggungjawabnya. Masih terngiang-ngiang di telinga ku bagaimana Abang Hisyam melamar Kak Zati. Bagaimana hendak menghalalkan taaruf (sesi bersuai kenal bakal isteri). Mungkin belum bersedia. Permata yang dicari bukannya mudah. =)


Sebentar tadi sempat bersembang dengan seorang sahabat. Masalah perempuan pabila lelaki cuba menghampiri mereka untuk tujuan perkahwinan menurut pandangan beliau.


1. Lelaki yang lebih tua berbanding mereka : Kebiasaanya lelaki bergini tidak mengambil masa bertaaruf. Kalau boleh mereka mahu kahwin secepat mungkin. Waktu perkenalan tidak lama dan masih tidak tahu hati budi masing-masing. Si perempuan masih ingin mencapai cita-cita. Mereka takut jika perkahwinan ini akan membantut cita-cita mereka.


- Bagiku, ini bukan satu masalah. perkahwinan pada dasarnya perlunya ada konsep memahami antara satu sama lain. Mungkin sesi taaruf tidak lama. Mungkin selepas berkahwin ada kelemahannya. Tapi kita perlu sedar manusia ini tidak sempurna. Cita-cita tu boleh dikejar. Berkahwin atau tidak bukan masalahnya. Mungkin bagi si lelaki perlu bersabar. Dunia ni benda yang kita kejar pasti akan lari. 


2. Lelaki yang sebaya : Masalah yang hadir jika ada hubungan dengan pasangan yang sebaya adalah, masing-masing masih tidak mempunyai ekonomi yang kukuh. Pelbagai perbelanjaan yang diperlukan sekirannya hendak berkahwin. Dari mas kahwin sehinggalah pakaian yang hendak dipakai sewaktu majlis. Al-maklumlah pada waktu kini adat lebih besar impaknya berbanding syariat yang dituntut. 

- Bagiku, sama ada sebaya atau tidak, perkahwinan ni bukan datang dari satu pihak, tetapi datang dari dua-dua pihak. Pihak isteri dan pihak suami. Mungkin majlis perkahwinan tidak sehebat perkahwinan orang lain. Namun begitu, jika kita bersedia berkahwin, mampu menggalas tanggungjawab, semuanya pasti akan dipermudahkan. Mana tahu, dengan berkahwin rezeki kita bertambah murah. Siapa tahu?


Walaubagaimanapun, semuanya bergantung pada diri sendiri. Adakah kita benar-benar bersedia atau tidak. Banyak elemen yang perlu dititik beratkan. Mungkin pada sesetengah orang, perkara ini tidaklah semudah yang disangka.

Akhir kata dari saya, Tahniah kepada Abang Hisyam dan Kak Izzati. Semoga rezeki bertambah murah dan dapat banyak anak. hehe. Dapat anak saudara ramai. hehe... (perasan kamu hamzah)

Jejak Jari :
  1. Bila difikirkan semula, bercinta ni bukan mudah. Bagiku pula nak mencari calon lagilah tidak mudah.
  2. Rasa ingin pergi ke tempat yang masih belum dilawati. Pemerhatian menajamkan pemikiranku.
  3. Pada hari jumaat yang lepas, jam tangan kesayangan tercicir. Salah seorang sahabat berkata kepadaku bahawa, terima ujian daripada Allah dengan penuh kesabaran. jam tangan tu tak seberapa kalau dibandingkn dengan nikmat lain yg Allah kurniakan selama ni..:)
  4. Petang tadi, kereta salah sorang sahabat pecah akibat ditimpa ranting kayu. Ranting kayu tersebut mungkin jatuh disebabkan hujan yang lebat berlaku tadi. Harap beliau bersabar dan segala urusan dipermudahkan untuk beliau. ( Musibah beliau lagi besar jika dibandingkan dengan jam tangan ku yang hilang)



Sunday, May 6, 2012

Its a beautiful day, and I cant see it

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyanyang.

Dunia ini indah. Cukup indah untuk kita hidup di atasnya. Kadang-kadang keindahan itu kita tidak mampu merasainya. Kita terlalu fanatik dengan dunia, teknologi, wang ringgit dan sebagainya. Kita tidak sedar di sekeliling kita ada pohon-pohon hijau, bunyi kicauan burung, bunyi-bunyi unggas serta bunyi dedaun hijau yang bergeseran ditiup angin. Kita terlalu bergegas dan pantas mengejar apa yang dilakukan oleh kita. Keindahan alam yang ada lenyap, hilang warnanya. Bunga ros yang sepatutnya harum tetapi hilang baunya. Ia menjadi seperti daun yang bewarna merah.


Aku semakin rasa kesannya. Semakin kita melangkah jauh dari umur kita yang muda, kita semakin meninggalkan  alam sekitar disekeliling kita. Jika semasa muda dahulu, kita sangat seronok jika dibawa berjalan oleh ibu bapa. Kadang-kadang hanya melihat burung-burung yang berterbangan sudah cukup membuat kita gembira. Kita sering berlari-lari diatas permaidani semulajadi yang bewarna hijau mengejar rama-rama yang berterbangan. Oh! indahnya.


“Tidakkah mereka memperhatikan burung-burung yang dimudahkan terbang diangkasa bebas. Tidak ada yang menahannya selain daripada Allah. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Tuhan) bagiyang beriman. orang-orang
“ ( An- Nahl : 79)

Bukan itu sahaja yang menjadi masalahnya. Kita juga tidak sedar kita juga semakin melupai maksud persahabatan. Semasa kecil, walaupun merebut permainan dengan sahabat, kita akan beralah dengan berkongsi dan bersahabat semula keesokan harinya. Kita masih lagi boleh berjalan bersama-sama kesekolah, berkongsi makanan ringan walaupun kuntitinya tidak banyak dan boleh keluar bermain bersama-sama ketika waktu petang. Oh indahnya.

Menjadi seorang sahabat tidak memerlukan sebarang sebab yang konkrit. Cukuplah kita saling memahami antara satu sama lain. Lidahpun bisa tergigit, namun cuba kita guna semula apa yang kita lakukan semasa kecil dahulu. Pemikiran tidak terlalu kompleks dan mudah kita memaafkan sahabat kita. Walaupun kita membeli 2 biji gula-gula yang berharga 10sen, kita mampu memberikan salah satunya kepada sahabat kita. oh indanya.......



Jejak Jari :
  • Menjadi dewasa bukan bermaksud kita harus melupakan zaman kanak-kanak. Janganlah terlalu ego. Belajarlah dari mereka.
  • Tidak sabar untuk ke majlis perkahwinan awal bulan 6 ini. =)
  • Dunia kotor! Alam Sekitar Kotor! Pemikiran Kotor! (Penyebab utama kita kian hanyut)
  • Oh indanya. (cuba mententeramkan diri yang __________ ).

Sunday, April 8, 2012

Prinsip Vs Kehendak

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.....

Kian lama kian malas untuk mencoret. Aku boleh bagi 1001 sebab untuk tidak menulis, namun aku tidak mahu tergolong dalam kalangan orang yang suka memberi alasan.

Sejak dua menjak ini, mungkin ku dikelilingi orang yang berpasangan (Couple). Hinggakan ku merasakan alangkah bagus jika ku mempunyai seorang kekasih. Sehingga begitu sekali ku rasakan. Tiba-tiba lagu Letto- Permintaan Hati berkumandang?.Sila abaikan.



Fitrah manusia memang inginkan pasangan. Ku juga ada perasaan itu. Namun, sikap diri ini yang suka memendam menyebabkan perasaan tu tersimpan dalam kotak hati yang dalam. Namun tetap rasa ingin memiliki.

Baru-baru ini ada seorang kenalan ingin memperkenalkan adik beliau kepada insan yang bernama Hamzah ni. Perasaan ingin memiliki dan prinsip berkocak dan berlawan umpama cas positif dan cas negatif yang bertembung menghasilkan tenaga elektrik yang kuat.

Prinsip ku sekarang ini adalah bercinta selepas ada satu ikatan yang sah. Wanita ini adalah satu mahkluk yang amat sukar untuk difahami. Jiwa mereka boleh sekental besi waja dan boleh menjadi serapuh kaca. Berdasarkan pemerhatian, seorang lelaki ini boleh melembutkan jiwa wanita yang kental itu dan juga boleh mengeraskan jiwa wanita yang rapuh itu.

Jika aku mengambil keputusan untuk mengikuti kehendak untuk berpasangan, ini akan melanggar prinsip ku ini. Jika aku ingin mengikuti kehendak, aku tak pandai untuk mendefinisikan maksud cinta, sayang dan sebagainya. Cinta dengan berpacaran antara lelaki dan wanita tanpa ikatan yang sah tiada penghujungnya. Hanya boleh temujanji (dating), saling bertukar mesej ringkas (SMS), membuat panggilan, dan aktiviti-aktiviti yang boleh dikatakan tidak dirahmati. Rasa takut jika perhubungan yang boleh dikatakan haram ini sebelum berkahwin ini akan memberi kesan selepas pasangan tersebut menjadi Isteri mahupun Suami.

Apabila mendapat satu pasangan untuk diri ini, adakah mereka akan bersikap jujur?. Adakah diri kita juga boleh bersikap jujur? menurut pemerhatian ku, sikap seseorang itu boleh berubah dihadapan pasanganya. Hal ini disebabkan mereka ingin menimbulkan perasaan kagum dalam hati pasanganya.

Ya Allah, Kau hindarilah diri ku ini daripada melakukan maksiat. Kau kuatkanlah imanku. Kau jagalah bakal isteriku. Semoga bakal isteriku merupakan seorang muslimah yang solehah. Amin....

Jejak Jari :
  1. 2 dan 3 Jun ni 2 orang senior ku akan melansungkan perkahwinan. Semoga segalanya berjalan lancar dan aku mampu untuk menghadirkan diri semasa perkahwinan mereka tersebut.
  2. Bimbang dan resah sentiasa bergelora di jiwa ini. Hurm....

Tuesday, March 27, 2012

Berat mata melihat, berat lagi bahu yang memikul.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Entah mengapa. Mungkin ditakdirkan tuhan, salah sorang staff yang selalu ku berjumpa untuk berurusan merupakan senior dari sekolah lama ku. Kebiasaannya topik yang dibualkan tentang sekolah lama. Berbagai-bagai pengalaman yang dikongsikan semasa di sekolah bersama beliau.

Pada minggu lepas, beliau memberitahuku bahawa salah seorang cikgu sekolah lama kami dimasukkan kedalam ICU. Jadi beliau mengajak ku untuk pergi melawat cikgu tersebut.

Walaupun perancangan asal terpaksa di batalkan disebabkan beliau mempunyai urusan yang penting, namun ku bertegas untuk mencari wad yang menempatkan cikgu tersebut. Alhamdulillah, proses mencari maklumat ku lancar tanpa sebarang masalah.

Jadi ku merancang untuk pergi melawat cikgu tersebut pada hari Ahad. Dipendekkan cerita pada hari tersebut, kawan ku ada menjemput ku kerumah sahabat ku kerana beliau mengadakan majlis tahlil arwah ayah beliau. Jarak rumah sahabat ku ini dengan USM agak jauh. Lebih kurang satu jam perjalanan. Aku sampai ke Penang semula dalam pukul 4.45. Sampai sahaja di USM ku terus bergegas ke Hospital Besar Penang.

Aku tidak mempunya sebarang masalah untuk mencari wad cikgu tersebut kerana ku sudah banyak kali datang kesini tatkala meneman sahabat ku yang lain melawat ibunya yang dirawat disitu. 

Ku memulakan perbualan bersama cikgu tersebut dengan mengucapkan salam. Lalu aku memperkenalkan diri. Untuk pengetahuan semua, cikgu tersebut tidak mengajar kelas aku. Cukuplah aku mengenali beliau. Bagiku, cikgu yang berada disekolah yang sama semuanya adalah cikguku. 

Banyak perkara yang dibualkan bersama cikgu. Dari awal hinggalah habis. Kaki cikgu tersebut terpaksa dipotong hingga ke lutut disebabkan kuman makin merebak. Untuk mengelakkan masalah ini semakin serius, dengan hati yang berat terpaksa mengambil keputusan untuk memotong kaki tersebut.

Jadi, wahai sahabat-sahabat sekalian. Kita ada 10 jari tangan dan 10 jari kaki. Semuanya memainkan peranan yang penting dalam kehidupan kita. Tapi kadang-kadang kita tidak sedar bertapa berharganya anggota ini. Kita juga tak sedar bahawa semuanya ini hanyalah DIPINJAMkan sahaja oleh Dia. Jika Dia ingin mengambilnya semua, adakah kita bersedia untuk kehilangan tersebut?

Semakin difikirkan semakin sebak. Jika dibandingkan dengan orang yang kurang upaya, kita yang lengkap dengan anggota badan ni tidak pandai menggunakannya dengan baik. Kelu dan bisu ku memikirkannya.....


Jejak Jari :
  1. Semua pasti sedar bahawa gaya tulisan aku semakin lama semakin bosan. Tiada ayat yang gramatis. Rasa seperti ingin mengambil kursus menulis hujung minggu ni. Mana tahu lepas ni boleh jadi penulis novel? (MIMPI!)
  2. Tatkala perut menyanyikan lagu alangkah bagusnya kalau ada orang tolong masakkan. (mimpi gak!!)
  3. Dulu minat cerita Full Metal Alchemist. Watak utama dia tak ada tangan kanan dan kaki kiri. Masa tu fikir best sebab tangan kanan besi dan kaki kiri besi nampak cool sebab kalau orang pukul boleh tahan dengan tangan. Tapi persepsi tu berubah apabila semakin dewasa. Memang nampak hebat, tapi beliau kehilangan nikmat untuk menyentuh dan merasa. Renung-renungkanlah dan pastikan anda menggunakan anggota badan anda dengan baik. Sekian......